Rabu, 4 Februari 2009

Mahasiswa USIM tahun akhir tunjuk taring


Fusion Development menangi RM1000


NILAI - Tiga pelajar tahun akhir Kursus Pengajian Quran dan Multimedia berjaya menjuarai Pertandingan Reka Cipta Multimedia anjuran Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) melalui hasil kerja mereka iaitu ‘Waktu Solat’. Pertandingan bermula 10 hingga 23 Januari 2009 bertemakan ‘Quran dan Sunnah dalam Multimedia’.

Mohd Syafiq Abu Hanipah, 24, Nor Azmi Jama Rusly, 23, dan Khairul Hazwani Ahmad Tabrani,23 yang menamakan kumpulan mereka “Fusion Development” berjaya memenangi hadiah RM1000 dan menewaskan 24 penyertaan lain dari tiga fakulti berlainan.

Ketua kumpulan tersebut, Mohd Syafiq Abu Hanipah,24 berkata, beliau berasa amat gembira dengan hasil usaha kerja mereka.

“Walaupun terikat dengan jadual dan komitmen masing-masing, kami berjaya menghasilkan satu produk multimedia. Proses menyediakannya amat rumit kerana melibatkan animasi dan interaktif,” katanya.

Pengarah Pusat Pembangunan Ilmu dan Teknologi Maklumat (PPITM), Dr Kamaruddin Saadan berkata, pertandingan ini bukan sahaja mampu mencungkil bakat-bakat baru dalam menghasilkan produk aplikasi pembelajaran dengan multimedia malah memberi kesedaran akan kepentingan media khususnya dalam perkembangan Islam.

“Kebanyakan aplikasi media kini tertumpu pada kartun dan hiburan. Mungkin pertandingan akan datang, pelajar boleh menghasilkan permainan komputer yang mempunyai unsur-unsur Islam,” kata beliau dalam ucapannya.

Pengarah Pertandingan Reka Cipta Multimedia, Rabiatul Adawiyah Amat @ Ahmad berkata, pertandingan ini dapat melatih para pelajar menguasai kedua-dua bidang Quran dan Multimedia secara bersepadu.

“Jika di dalam kelas pelajar hanya belajar teori sahaja, akan tetapi dengan menyertai pertandingan ini mereka dapat mempraktikkan ilmu tambahan selain dari latihan dalam bilik kuliah, tutorial dan makmal,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan